Showing posts with label ibu. Show all posts

Perginya anak kesayangan yang berusia 2 bulan

Al- Fatihah.


Takziah kepada Puan Fadhlina Binti Sidek Fadzil di atas pemergian anak bongsu yang berusia 2 bulan yang tiba-tiba sesak nafas.

Jantung berhenti secara tiba-tiba. Doktor bagi masa selama sejam untuk menunggu miracle.

Selepas sejam, doktor cabut plug.

Maaf, saya tidak bisa meneruskan tulisan.

Posted in | Leave a comment

Hati seorang ibu

10/6/2011-14/6/2011 Aliff diserang demam selesema.


Pintu hati seorang ibu diketuk lagi apabila melihat anak kesayangan intan payung terpaksa melalui proses mencairkan kahak dan selsema oleh nebulizer. Pada mulanya ok-ok dan muka agak blur sebab tak pasti apa yang misi akan lakukan padanya dan hairan melihat kepul-kepul wap yang keluar dari nebulizer tersebut.

Dalam 3minit berlalu dia semakin tak selesa dan mula menangis. Tempoh yang proses tersebut adalah selama 15 minit. Bayangkan hati ibu mana yang tak sedih melihat anaknya meraung-raung minta dilepaskan daripada alat tersebut.

Ini baru dipasang nebulizer.

Apalah perasaan hati seorang ibu yang anaknya ditimpa kemalangan, hilang, lemas dan sebagainya. Tak dapat saya bayangkan. Allah..


"Ya Allah, kuatkan semangat ibu-ibu itu untuk teruskan kehidupan mereka. Dan tempatkanlah anak-anak mereka di tempat orang-orang yang beriman. Amin"

Posted in , | Leave a comment

Madela Swing

Untuk ibu yang bekerja, mesti ramai yang guna electric breast pump kan?

Best tak? Best tak? Best tak? *cubit diri sendiri* pergi repeat banyak kali sapa suruh


Puan Madela Swing

Tiba-tiba rasa macam nak kongsi tentang breast pump.

Alhamdulillah selama 6 bulan penggunaan Madela Swing warna sama dengan tuan punya badan adalah sangat memuaskan. Penggunaannya agak mudah dan juga mobile.

Selepas beberapa hari mula bekerja, baru berjaya mendapatkannya. Sepanjang tempoh pantang hanya menggunakan pam manual Avent yang saya dapati agak letih dan lenguh (baca : malas) setiap kali mengepam. Kebetulan, breast juga selalu membengkak macam Pamela Anderson jadi acap kali juga proses pengepaman tu berlakulahkan. Dalam hati memang menyimpan hasrat untuk mendapatkan electric breast pump. Yeah!

Suami dapatkan pam ini melalui sebuah forum dari lowyat.net dengan harga RM 550 tanpa warranty. Harga asal RM 700++, mungkin dia beli di oversea.

Baiklah, meh saya nak cerita sikit tentang info dan jasa Puan Madela Swing pada saya.

1. Hanya boleh digunakan sebelah breast pada satu masa. Sebelah lagi boleh tadah guna penutup botol Madela yang agak tinggi tu sekira berlaku pengeluaran susu (di bahagian breast yang tidak dipam). Rujuk imej di atas.

2. Boleh digunakan dengan menggunakan elektrik dan bateri. Always make sure that batterIES be in your pump bag. Jangan jadi macam saya, nak guna dalam kereta battery dah kong. Terpaksa buat kaedah tradisional T__T

3. Mudah pasang. Mudah dikemaskan. Tak banyak alat. Saya suka yang ni!

4. Oh yang ni agak tak best. Bunyi motor pam agak kuat. Malu i tengah sedap memerah hasil keringat dalam surau.

5. Sedutan pam juga selesa seolah-olah seperti sedutan mulut Aliff. E-eh! Volume, eh volume ke? Maximum sulking pun still selesa dan tak sakit.

Itu je kot pandangan saya. Kalau ada sesiapa nak kongsi pam masing-masing boleh juga. Eh bukan kongsi pam. Maksud saya kongsi tentang kisah pam. Boleh saya cuba-cuba untuk next baby. *Batuk-batuk*

Setakat ni, memang berbaloi-baloi pam yang julung kali saya beli. Insya Allah.

Cuma, sejak Aliff dah mula makan, beliau (Puan Madela Swing) agak sedikit terabai. Maaf ye.

Posted in , , | Leave a comment

Tips membeli dan menyediakan keperluan ibu dan bayi

Dulu saya waktu umur kandungan 7 bulan baru gelabah bukak internet cari senarai keperluan. Alhamdulillah, rupa-rupanya ramai ibu yang baik hati sudi berkongsi tips dan info di blog-blog mereka. Lepastu gelabah pulak pergi kedai atau shopping complex untuk shopping barang baby lagi. Sebelum tu, selalu alah lambat lagi. Ha perut dah boyot lalu mengkelam kelibutkan diri.

Kini, giliran saya membantu mereka yang memerlukan.



Keperluan Ibu

Penyusuan ibu


  • Pam susu -penting survey awal-awal. Kalau tak menyesal kemudian hari. Dalam pantang, pam susu sangat diperlukan sebab selalu berlaku bengkak susu dan kadang-kadang baby tidur macam kesian nak kejut. Tapi, kakak ipar saya anak dia jenis kuat minum, tak jadi masalahlah. Bagi ibu yang bekerja, dah boleh mula simpan susu semasa dalam pantang supaya tak gelabah macam saya kekurangan susu bila anak dah masuk 5 bulan. Banyaknye perkataan gelabah ko. Pilihan saya adalah madela swing :)

  • Breast pad - Boleh cari yang disposable atau washable. Penting juga kalau tiba masa susu tu nak memancut, tak dapek-dapek dah nak menahan. Tambahan, bila baby breastfeed sebelah kanan, susu sebelah kiri dengan riang gembiranya memancut-mancut.

  • Botol susu - Beli sikit dulu, tengok baby nak ke tak nak guna botol tu melalui latihan menyusu menggunakan botol susu.

  • Sabun cuci botol susu dan pam- saya guna pureen perisa oren

  • Berus cuci botol susu

  • Nipple cream/Nipple protector - Penting! Dalam umur baby kurang sebulan saya mengalami nipple crack. Mengalir air mata setiap kali baby bf. Petuanya, sapu bahagian yang sakit dengan susu ibu banyak-banyak setiap kali selepas baby bf. Namun sebelah kiri punya kurang berkesan. Last resort, suami belikan nipple protector. Alhamdulillah, kembali kepada sedia kala.

  • Strelizer- Berbaloi untuk saya yang sentiasa ada je botol/pam yang nak dibersihkan Must have. Nak cepat. Nak lambat guna air panas pun boleh.

  • Elctric bottle/ food warmer - Saya guna kaedah tradisional, air panas.

  • Nursing Cover - Saya dapatkan dari anisfadhilah. Alhamdulillah berbaloi setiap kali keluar berjalan. Namun, boleh juga guna shawl yang bersaiz besar atau cover guna tudung bagi baby yang bersopan santun ketika bf. Baby saya? Tangan tak diam nak selak-selak tudung.

  • Beg Susu - Bukan mengandungi susu tapi dilengkapi dengan pam susu,botol susu, plastik menyimpan susu, cooler bag yang mengandungi ice packs. Sesuai sangat untuk ibu bekerja. Persediaan, persedian.
Ibu yang dalam pantang


  • Pad- Saya guna kotex biasa ajo

  • Kain batik

  • Tshirt

  • Sweater

  • Tudung agak labuh sikit- Setiap kali orang melawat tu lah, baby kita nak susu. Adoyai. Terpaksa mak kaber-kaber

  • Minyak urut- Amway! Sungguh nyaman.

  • Minyak cap kapak

  • Bantal - lebih sikit sebab kadang-kadang sakit belakang.

  • Set bersalin - Again, Amway!

  • Stokin- Jangan skip ye kawan-kawan. Masuk angin karang - kata mak saya

  • Bekalan makanan dan air putih - Kerana selalu merasa kebulur, almaklumla makanan kena catu dalam pantang. Jangan ko bedal kueh mueh segala macam. Cukuplah setakat biskut-biskutan :p

  • Buku parenting dan penjagaan bayi - Penting, penting. Saya cadangkan buku tulisan Miriam Stophard dan Elizabeth Ferwick. Study tau, seeloknya sebelum deliverlah. Rujuk sini

  • Buku nota- Not necessary pun. Saya tulis perancangan apa nak buat (baca : tulis makanan yang nak dimakan) selepas habis pantang Theeee:p

  • Laptop - online!!! Banyak info saya gelabah (again?) nak cari masa dalam pantang.
Keperluan bayi

Pakaian


  • Baju + Seluar, Romper, Sleepsuit - Banyak beli untuk saiz baby berumur 3-12 bulan. Bawah dari tu saya beli sikit-sikit. Banyak orang beri untuk baju bersaiz 0-3 bulan

  • Mittens + Boties

  • Kain bedung- Beli yang strap tu. Kesian Aliff, Kalau pakai kain biasa dicabut-cabutnya

  • Lampin

  • Selimut

  • Topi

  • Bibs - Ada satu masa nanti, rasanya dalam 2 bulan ke atas, Air liur baby meleleh macam paip bocor. Sila bersedia

  • Tuala kecil- Banyak membantu membersihkan baby muntah. Sila bawa ke mana anda pergi dalam tempoh baby berumur 0-3 bulan
Tempat tidur


  • Baby cot

  • Playpen

  • Drawer

  • Mosquito spray/net
Travel


  • Stroller + Head & neck supports

  • Car seat

  • Baby carrier/babywearing - Disarankan untuk menggunakan kaedah babywearing ( rule : knee is always higher level than bum means in sitting position) kerana kalau baby carrier tu anu baby macam terhempap. Ouch!

  • Nursery bag

  • Sunshades - Kalau kereta pasang tinted tebal camane pun, sunshade berguna jugak

  • Kipas kecil - Banyak dijual di kedai barangan baby berharga Rm 19.90. Tapi biasanya kat baby expo harga boleh dapat dalam Rm 15.00
Masa lapang


  • Toys

  • Rocker

  • Play Mat

  • Musical Mobile

  • Cloth book

  • VCD ayat-ayat Quran
Penjagaan bayi


  • Changing mat

  • Baby wipes

  • Diapers

  • Diaper rash cream

  • Baldi

  • Bakul baju kotor

  • Sabun basuh baju baby

  • Baby Bath tub

  • Toileteries - Saya guna produk pureen. Bagus. Anak saya tak boleh guna baby johnson. Badan jadi gatal-gatal

  • Baby bath towel

  • Cotton wool ball- Cuci telinga dan mukanya

  • Cotton buds

  • Sikat baby - Awwwww~ Kalau sikat pun takda efek. Tapi, perasaan kasih sayang semasa menyikat baby tu sungguh best

  • Ketip kuku baby - Alololo, comelnya.

  • Nasal aspirator - Aliff punya taik hidung beso-beso. Memang bermanfaat benda ni

  • Termometer - Penting untuk monitor suhu baby sekiranya rasa badan dia panas-panas atau merengek-rengek lain macam.

Cukuplah. Harapnya info di atas membantu tawan-tawan semua dan bukanlah benda yang saya syok sendiri.

Selamat bershopping dan buat lah budget sebaik mungkin!

Posted in , , , , | Leave a comment

Menyusukan Aliff dengan susu ibu



Alhamdulillah, sebelum kelahiran Aliff lagi ibu dah pasang niat untuk menyusukan Aliff secara eksklusif dan serius (insyaAllah sehingga 2 tahun, ameeen).


Selama 5 bulan menyusukan Aliff, ibu baru ada kesedaran untuk menimba ilmu menyusu baby secara mendalam (nampak sangat selama ni main belasah je). Not good, not good.


Ini disebabkan beberapa perkara yang ibu amik mudah dan pandang enteng tentang penyusuan ibu. Antara faktornya :


1. Selepas kenduri mama yayah, ibu flat-badan memang lemah-selemahnya dan tak pernah rasa selemah itu

2. Stok susu berkurang dan panik takut Aliff tak dapat untuk dapat susu yang cukup. Ini penting diambil perhatian untuk ibu bekerja.


Pengurusan susu ibu yang teratur samada direct feed atau penyimpanan stok EBM (Expressed Breast Milk) amat penting bagi mengelakkan perkara-perkara seperti berikut :

1. Stok susu bersepah-sepah dalam peti ais
2. Stok susu untuk anak tak cukup sebelum umur 6 bulan ( sebelum anak dibolehkan makan solid food)
3. Babysitter pening dan rasa susah dalam pemberian susu ibu kepada anak
4. Anak mendapat susu ibu yang dah tak elok
5. Anak lapar dan perut kembung akibat angin dan moody
6. Ibu kurang nutrisi badan menyebabkan badan ibu lemah-lemah

Bila dah study, dan ye, hanya melalui pembacaan dan penelitian (nampak sangat malas pergi kelas) beberapa perkara yang saya nak kongsi dengan ibu-ibu yang ingin menyusukan anak susu ibu dengan betul untuk ibu yang bekerja :

1. Penyediaan stok susu
2. Penyimpanan stok susu untuk ibu bekerja
3. Tips untuk ibu menyusu dan menambahkan susu ibu
4. Pemakanan ibu menyusu


Ok sambung nanti di bawah tajuk-tajuk di atas


Posted in , , | Leave a comment

oh tempuh berpantang sangat tak menarik jiwa dan raga

Alhamdulillah, tempoh berpantang selama 44 hari telah tamat pada 27 November 2010. Sangat tak best dan jiwa raga bakul semua tertekan. Banyak kali juga menangis-nangis nak makan itu ini. Dan juga banyak kali juga bahu suami saya basah dan telinga dia tebal menadah rintihan hati saya.

Suka saya berkongsi di sini amalan berpantang saya :)

Pemakanan

Seperti yang saya telah maklumkan, saya bersalin secara pembedahan. Jadi kaedah pantang itu sama cuma agak sedikit berbeza pada pemakanan. Sebenarnya ia bergantung kepada individu. Lain orang, lain penerimaannya.

Selama dua minggu dari hari aliff dilahirkan, menu saya seperti di bawah :

Pagi : roti 2 keping dan milo

Tengahari : (bubur + lada hitam+lobak merah + kentang)+ sup ikan haruan + sawi rebus+air akar kayu

Petang : roti 3 keping + milo

Malam : seperti menu tengahari~sigh

Warna merah menunjukkan menu tak berapa suka.Begitulah hari-hari saya selama dua minggu.
Setelah 2 minggu saya mula makan roti bakar (teringin beno sebab beberapa jam before deliver makan roti bakar), ayam, nasi beriyani (yang ni memang ko cari pasal),makaroni dan macam-macam lagilah. Oh, sambal belacan pon pernah TERmakan. huk huk huk

Memanglah masa-masa ni dah siap dengan senarai makanan, untuk dimakan setelah habis pantang.Cis memang tak sedar diri betul, senarainya MasyaAllah berjela-jela.Saya pernah menangis dekat cik abang sebab kebulur macam orang tak cukup makan, yelah kitakan menyusu Aliff lepastu makan macam tu pulak. Secara psikologinya memang haruslah kebulur kan?

Mengurut

Dalam 4-5 hari selepas bersalin, Masya Allah belakang saya punya la sengal-sengal ubi. Sakitt~ Saya memang tak cari orang mengurut. Yela tak berapa nak reti bab-bab ni. Jadi selepas badan mula-mula sakit baru ada kesedaran nak cari tukang urut.

Melalui kontak seorang teman (kak wani), dapatlah seorang tukang urut yang mempunyai pengalaman banyak tahun sebagai misi, Cek Nab from bangi. Memang banyaklah bercerita sepanjang masa mengurut. Saya urut selama 3 hari. Banyak benda yang diajarnya seperti cara memakai bengkung, cara bertunku, pakai pilis dan param serta mandikan anak. Satu hari RM50.

Menurut Cek Nab, orang bersalin secara pembedahan tak ada masalah sangat dalaman. Sebab tak menggunakan tenaga yang banyak. Urat-urat juga tidak tegang. Jadi kalau tak urut pun tak apa. Cek Nab tak urut di bahagian perut saya kerana itu adalah kawasan larangan untuk bersalin secara pembedahan.

Sebagai misi yang berpengalaman, dia juga pandai melihat luka pembedahan. Kebiasaannya luka hujung lambat baik dan akan bernanah. Tetapi jangan risau, jika luka dijaga dengan baik, InsyaAllah cepat sembuh.

Antara penjagaan luka pembedahan adalah:
  • Banyak-banyak makan sup ikan haruan/pati ikan haruan
  • Kalau dua-dua pun tak boleh telan, boleh cari Gamogen gamat minum pagi dan petang
  • Setiap kali mandi, lap luka dengan kain khas sehingga kering. Kalau tak pasti, boleh guna pengering rambut.
  • Sekiranya sedang baring dan hendak bangun, anda dikehendaki mengiring dulu sebelum bangun.
  • DILARANG sama sekali meletakkan atau menyapu luka dengan sebarang ubat/minyak/atau apa-apa sekalipun.

Tips

Melalui pembacaan, anda boleh letak losyen bayi di perut untuk menghilangkan kesan hitam di perut kesan daripada regangan kulit perut semasa mengandung.

Letak pati halia/minyak mengempiskan perut sebelum memakai bengkung.

Rutin

Ini rutin harian saya di sebelah pagi selepas 3 minggu bersalin:

  • Selepas bangun, menyusukan Aliff dan mandikan dia
  • Sebelum saya mandi, pakai param agak panas sikit untuk memastikan badan hangat dan pilis elak pening kepala selama 1/2 jam.
  • Lepas tu mandi air panas+ herba untuk kesegaran badan. Basuh rambut sekali sekala je.Tak boleh setiap hari.
  • Pakai barut (tapi susah sangat nak bergerak tambahan Aliff tak tidur siang dan asyik minta susu, saya pakai cuma 2 minggu)
  • Bertungku supaya urat-urat kembang. Sedap bertungku, memang nikmat especially bahagian atas perut.
  • Sarapan dan makan ubat (pati ikan haruan/gamat)
  • Susukan Aliff dan tidur

Sekiranya anda ada tips atau kisah berpantang yang ingin dikongsikan, maklumkan pada saya. Sangat berminat sebagai persediaan untuk anak kedua!

Posted in , | Leave a comment

Search

JuaNadiah 2013