Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman | Pantai

adalah merupakan tanah tumpahnya darah nenet Aliff. Hahahhaa

Dan Aliff sangat sukakan negeri itu apabila berkesempatan ke sana pada 28/5/2011 yang merupakan percutiannya pertama kali di sini bersama-sama keluarga saya. Saya masih ingat lagi pertama kali suami (er biarlah saya gelarkannya kekasih hati di sini) menjejakkan kaki di negeri penyu itu pada bulan Jun 2010 dan ketika Aliff masih dalam kandungan yang berumur 6 bulan, dia sangat teruja dan bangun awal setiap pagi untuk menyaksikan matahari terbit. Memang itulah minatnya sehingga sekarang. Saya yang memang sejak dari kecil sudah terbiasa dengan pantai langsung tidak endahkan ajakannya ke pantai pada setiap pagi untuk menyaksikan keindahan Allah tersebut. Untuk makluman, kekasih hati dibesarkan di Muara. Betul, tiada pantai di situ.

Sejak saya memutuskan untuk berkongsi hasil penulisan saya dengan seluruh isi dunia, idea yang wujud dalam minda saya seolah-olah sedang beranak-ranak. Jadi, saya ingin mengambil peluang menceritakan kisah percutian kami ke Kuala Terengganu baru-baru ini di sini. Kerana saya fikir, selama 26 tahun saya dan adik beradik berpeluang ke kampung halaman di sini, belum pernah sekalipun kami berkongsi pengalaman tersebut dengan teman-teman apatah lagi saudara mara yang bukan datang dari daedah ini. Langsung melihat kekasih hati yang begitu teruja setiap kali pulang ke Terengganu membuatkan saya sedar bahawa sebenarnya, kami sangat beruntung mempunyai kampung yang banyak tempat-tempat menarik untuk disinggah.

Biarlah tempat-tempat menarik itu saya kongsikan dalam entri yang berlainan kerana untuk kali ini saya suka untuk berkongsi mengenai indahnya pantai di Terengganu.

Pantai

Pantainya tenang, pasirnya putih bersih sekali. Orang ganu sebut, pat-ta.

Seperti dalam peta Malaysia, negeri Terengganu terletak di persisiran pantai. Ini bermakna sepanjang perjalanan kami ke Kuala Terengganu akan melalui pantai. Dan antara pantai yang kami singgah tempoh hari adalah

Pantai Kemasek

Destinasi wajib singgah-tangkap gambar sampai lebam.

View dia cantik sangat Masya Allah. Depan sikit dari boader Pahang-Terengganu. Lepas Kemaman agaknya. Sambil lepak dan berehat setelah memandu non stop dari KL-Terengganu. Moleh sangak la tu.





Pantai Kelulut
Kira-kira 20 minit sebelum tiba ke Kuala Terengganu, kami melalui Pantai Kelulut dan kelihatan banyak sekali kedai makan di kiri dan kanan jalan. Kebetulan kami yang sedang menahan lapar kerana tiada satupun perhentian yang disinggahi sebelum ini memutuskan untuk berhenti makan di situ.




Rupa-rupanya, gerai-gerai di situ kebanyakannya menyediakan makanan laut celup tepung dan makanan panas. Kami yang seolah-olah tidak makan dalam 3 hari memesan makanan dengan banyaknya, antaranya sotong, udang celup tepung, keropok leko, nasi goreng dan air buah . Dan percaya atau tidak kesemua makanan itu berjaya tidak dibazirkan. Sotong celup tepungnya memang sangat sedap. Sotongnya lembut dan tepungnya sangat crunchy. Kruk, kruk. Dicicah pula dengan sos istimewa yang rasanya manis dan pedas. *kecur air liur* Terdapat juga satu gerai yang menyediakan satar yang sangat-sangat sedap! Manis dan pedas. Juga menjadi mangsa kebuluran kami.


Menikmati makanan yang enak bersama pemandangan dan suasana yang nyaman di tepi pantai adalah sesuatu perkara yang mustahil apabila anda berada di Kuala Lumpur ataupun Kajang. Alhamdulillah, nikmat sekali anugerah Allah yang satu ni!

Pantai Chandelling

Pasirnya masya Allah, puteh lepok!

Memang best mandi sini. Tak ramai orang.



Pantai Batu Burok






Bagi penduduk Terengganu terutamanya yang tinggal di sekitar kuala ini, pantai ini adalah pantai yang paling popular dan kerap dikunjungi. Begitu juga bagi 'orang luar' iaitu penduduk di luar negeri Terengganu. Ada saja aktiviti dan karnival yang dianjurkan di sini dan kebiasaannya pantai ini memang meriah dengan pengunjung tak kira masa.

Saya masih ingat waktu kecil dulu, ramai sekali orang bermain layang-layang di sini kerana anginnya kuat sekali sehinggakan pernah hampir menerbangkan tudung saya!

Dulu-dulu, seingat sayalah satu-satunya restoran makanan segera yang berada di Kuala Terengganu adalah A&W yang terletak di pantai ini. Jadi sesekali kalau terasa nak makan fastfood, kami mesti paksa abah ke sini. Walaupun, pada hakikatnya kalau berada di KL jarang sekali makan A&W. Kalau dah mengada-ngada kan.. Oh, di kawasan pantai ini juga banyak disediakan gerai makanan seperti foodcourt dan ada satu gerai di situ yang menawarkan nasi dagang yang sangat sedap, malangnya saya lupa gerai yang mana satu.

Tapi, apa yang saya perasan sekarang, kemeriahan di pantai Batu Burok semakin berkurang. Sebabnya? Saya juga kurang pasti. Pembangunan mungkin?

Pantai Teluk Ketapang

Sewaktu saya masih kecil, pantai ini selalu kami kunjungi untuk mandi manda kerana lokasinya yang paling hampir dengan kampung mama, Manir. Tetapi kini, tidak dibenarkan lagi mandi di sini selepas tambakan pantai dilakukan berdekatan dengan lapangan terbang, Kuala Terengganu. *mengeluh* Begitu banyak sekali pembangunan yang saya perasan di kawasan pantai ini, antaranya stadium yang runtuh, Universiti Malaysia Terengganu, Lapangan Terbang yang dinaiktaraf dan macam-macam lagi. Jadi, kiranya Aliff nak mandi pantai nanti, ibu terpaksa ajak ayah ke bahagian atas lagi daripada pantai Ketapang ni.

Sekarang ni, ramai orang termasuk 'orang luar' lebih berminat berkunjung ke sini berbanding ke pantai Batu Burok. Apa yang menarik di sini? Macam biasa gerai-gerai makan yang menyediakan makanan celup tepung, masakan panas dan air buah gelas besar. Jagung bakar pun ada! Tapi saya tak berapa suka celup tepung di sini. Mahal sikit. Tapi kalau pandai pilih kedai, ok je.


Pantai Teliput



Satu lagi pantai yang cukup popular dengan masakan celup tepungnya. Tapi, tempat ni tak ramai orang tahu tentang keenakan masakan celup tepungnya. Gerainya pun taklah sebesar mana, tapi begitu ramai sekali orang yang datang. Yang menariknya, kita boleh mandi di sini.

Disebabkan kampung saya di Manir, jadi jarang sekali kami berjalan-jalan lebih dari Pantai Keliput. Kiranya kekasih hati rajin nak ajak berjalan naik ke bahagian atas lagi lain kali, bolehlah saya kongsikan kisah pantai di Terengganu lagi ye?

----

Yang buat saya gelihatinya, oleh kerana saya dibesarkan dengan pantai Terengganu, saya jadi tak berperasaan sekiranya berkelah di Port Dickson. Ini belum cerita tentang keindahan pantai Pulau Redang dan Tioman. Subhanallah, cantik sungguh ciptaan Mu!

Posted in , . Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Search

JuaNadiah 2013