Ahlan ya Ramadan, yang paling dinanti dan dirindui

Alhamdulillah, syukurnya apabila Allah beri peluang pada saya dan keluarga memeriahkan lagi bulan Ramadan pada tahun 2011 ini. Masya Allah, bersyukur kita kepada Allah ye kawan-kawan semua. Bukan semua orang dapat peluang ini. Kita antara orang-orang yang dipilih Allah untuk sekali lagi bertemu Ramadhan. Manfaatkannya sebaik-baik mungkin. Azam saya dan suami kali ini, nak pulun habis-habis bulan Ramadan dengan aktiviti ibadah.


Dalam pada umat Islam sedang bersemangat memulakan puasa dengan begitu bersemangat sekali, puasa saya bermula dengan sedikit 'kecacatan'. Hahahha. *gelak dulu, ambil mood.

Pagi 1 Ramadan, seisi keluarga kami bersahur agak lewat sedikit. Mungkin akibat kepenatan seharian berada dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Sg Ramal selepas menghadiri majlis walimah sepupu kami, Nasru dan isterinya Nurul (sebaya saya dan sangat cantik dan manis orangnya). Walimah berlangsung di Kg Manir sempena Nasru merupakan anak bongsu mama dan mahu meraikan saudara mara di Terengganu.

Tapi, saya bagi chan la, layan gambar.

Hero-hero Nadiah

Aliff ikut muka siapa?

Berfoto kenangan bersama pengantin. Cantikkan, nurul (pengantin perempuan)?

Keluarga besar kami

Muka puas dapat minum air sirap sejuk di kala cuaca panas

Sambung cerita sahur pulak. Cerita Balik kampung, nantilah. Pagi yang agak kelam kabut dan sedikit gelabah. Selesai bersahur semua orang menunaikan solat subuh dan seterusnya aktiviti yang paling tidak bagus tetapi enak adalah tidur. Ketika suami merehatkan diri, saya sediakan bubur Aliff seperti biasa. Walaupun agak awal, jam 7.30 pagi Aliff dah nampak macam lapar.

Aliff makan dengan begitu banyak dan selera sekali. Selesai dia makan, saya ajak dia bermain sambil ceritakan hal puasa padanya. Dia suka dan tepuk-tepuk tangan. Oh Aliff dah pandai tepuk tangan. Sangat ayu ok dia tepuk tangan. Comel jugak.

Sedang saya siapkan diri untuk ke tempat kerja, tiba-tiba tersedar yang waktu menyuap Aliff makan tadi, rupa-rupanya saya pun turut menyuap diri sendiri bubur Aliff tu untuk mengelak dari bubur tumpah. Bukan sekali dua, tapi lebih! Masya Allah, rezeki saya.

Aliff, kenapa tak makan KFC ke, roti canai ke, ikan patin masak lomak ke. Aihhhh~

Di kesempatan ini, saya nak kongsi satu artikel daripada Ustaz Zaharuddin Abd Rahman mengenai Kesilapan Kerap Muslim di Ramadhan. Semoga bermanfaat.

--------------------------------------------------------------------------------


Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif ‘mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.

Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).

Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam.

Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)

يا رسول الله , أي الدعاء أسمع ؟ : قال : جوف الليل الأخير ودبر الصلوات المكتوبة

Ertinya : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :" Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)

4) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering' pastinya.

5) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

6) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)

7) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.

8) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)


9) Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah' bagi sahur. Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278)

10) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

11) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.

Nabi Muhammad menceritakan :-

ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلى السَّمَاءِ يا رَبِّ يا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ

Ertinya : menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih)

Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.

12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-

ثلاثة لا ترد دعوتهم , الإمام العادل , والصائم حتى يفطر ودعوة المظلوم

Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )

Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.

إن للصائم عند فطره دعوة لا ترد

Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

--------------------------------------------------------------

Ilmu, kalau dah tahu wajib beramal. Jangan pula kalau tak tahu, tak nak ambil tahu. Itu dah bodoh sombong. Eh apahal nak emosi pulak siang-siang Ramadan yang mulia nih? Hakikatnya, kepala dah pusing sikit nak buat ayat best.

Ok, ini bab lain iaitu mengenai luahan hati yang selalu merindui kenangan dan semuanya genap setahun yang lepas. Betul-betul rindu dan semoga azam saya untuk ke sana lagi berjaya. Amin, amin! Nikmatnya berkesempatan menunaikan umrah dan berpuasa di Mekah pada bulan Ramadan di Mekah sememangnya maha besar! Allah bagi rezeki tu pada semua hambaNya, dalam pelbagai bentuk. Dapat jejak mekah adalah anugerah Allah pada saya dan keluarga yang tidak saya ucap dengan kata-kata. *Menangis. Alhamdulillah.


Hansomnya

Di Madinah, Aliff dalam perut

Terima kasih Allah, bagi saya mama dan abah

Alhamdulillah, ini sahaja foto saya di depan Kaabah bersama keluarga

Makanan Arab yang SELALU dirindui.
*Abaikan kaki yang buruk di sebelah nasi tu

Semua muka ketat, pemandu bawak van macam #@^%$#^@#, eh tak baik cakap $#^$#^@ kat Mekahlah!

Insya Allah, satu hari nanti LAGI. Meh pakat tadah tangan dan berdoa

Posted in , , , . Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Search

JuaNadiah 2013